SEBAB DAN HAD WAJIB BELAJAR TASAUF
Dan terakhir kita lihat sebab belajar tasauf pula. Saya kira penerangan pertama itu telah jelas yakni setiap amalan perbuatan kita yang tidak mengandungi syirik, maka itulah amalan yang diterima oleh Allah meskipun nampak buruk dari segi adabnya. Apabila memperkatakan bab tasauf ini, jangan sesekali kita mencampur adukkannya dengan usul maupun feqah kerana ini akan merosakkan ilmu Allah itu. Dengan mengetahui ketiga-tiga perjalanan ilmu iaitu usul, feqah dan tasauf, maka bolehlah kita berbicara mengikut lorong yang betul. Jika kita tidak memahami sebenar-benarnya akan ilmu tasauf ini, dikhuatiri akan rosak iman dan amal kita meskipun pada adabnya nampak baik. Perhatikan firman Allah dalam surah Al Baqarah:216 yang bermaksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
Apabila dapat kita mengesakan Allah dalam apa jua keadaan, maka ketahuilah bahawa ketika itu telah sampailah had wajib kita belajar tasauf. Mengesakan Allah itu adalah satu tanggungjawab yang sangat-sangat dituntut dan wajib bagi kita mempelajarinya kerana jika kita tidak mengesakanNya beerti kita mensyirikkanNya samada sedar atau tidak. Suka saya mengingatkan bahawa dan bahkan, syirik itu adalah satu perbuatan yang amat-amat dibenci oleh Allah. Dosa lain mungkin boleh diampunkan tetapi dosa syirik ini tidak mendapat keampunan Allah, maka marilah kita bersama-sama menghindari daripada dosa SYIRIK itu.
Dan ketahuilah, satu-satunya cara untuk menghindari syirik itu ialah dengan jalan tauhid. Biarpun kita akan bertemu dengan tauhid ini dalam usul dan juga dalam feqah, tetapi kemuncak sebenar-benar tauhid cuma ada dalam tasauf. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya setelah menempuh ketiga-tiga jalan tersebut. Bagaimanapun, jika saudara/saudari memang telah melalui jalan usul atau feqah dan mendapati jalan tersebut lebih baik, maka saya sedia berkongsi pengalaman. Kita boleh tengok nanti yang mana jalan yang terlebih baik. Tidak salah untuk kita bertukar-tukar pandangan dan pengalaman asalkan untuk tujuan yang satu iaitu menghampirkan diri kepada Khaliq - Allah yang menjadikan kita dan sekalian alam.
0 ulasan:
Catat Ulasan