Rabu, 4 Ogos 2010



ULASAN BUKU :
TAUHID DALAM TASAUF


MUQADIMAH

Sebelum berterusan, kita lihat dahulu definisi ‘tauhid’ ini. Tauhid beerti ‘esa’ atau satu atau tunggal. Lawan tauhid ialah berbilang atau banyak yakni lebih dari satu. Kesimpulan mudahnya, apabila disebut mengesakan Allah beerti menganggap dengan sepenuh keyakinan bahawa Allah itu ‘se’ (satu) dan dengan keyakinan sebegitu maka tertolaklah kita dari mensyirikkan Allah atau menganggap Allah itu berbilang.

Kita lihat dalil dalam Al Quran bagaimana Allah berfirman yang bermaksud “Katakanlah Allah itu esa”. Surah Al Ikhlas:1. kemudian dalam firman yang lain Allah menegaskan “Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga Tuhan”. Al Maidah:73.

‘Tasauf’ pula merujuk kepada ilmu-ilmu yang membicarakan tentang keTuhanan. Maka ilmu usulludin dan tarikat juga termasuk dalam cabang ilmu tasauf. Meskipun ada banyak nama-nama lagi yang diberi tetapi selagi ilmu itu membicarakan tentang keTuhanan, maka layaklah ilmu itu dikategorikan sebagai ilmu tasauf.

Ilmu mentauhidkan Allah atau mengesakan Allah ini wajib dituntut oleh setiap muslim yang sempurna akalnya kerana ilmu ini sahaja yang dapat menyelamatkan kita daripada syirik kepada Allah. Kita sedia maklum bahawa mensyirikan Allah itu adalah satu perbuatan yang sangat-sangat dibenci oleh Allah sebagaimana amaranNya dalam surah An Nisaa:116, “Sesungguhnya Allah tiada mengampuni, jika Dia dipersekutukan (disyirikan) dengan yang lain dan Dia mengampuni dosa yang kurang dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Barang siapa yang mensyirikan Allah, sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jauh”

Kita lihat, apabila dapat seseorang itu mengesakan Allah maka jadilah dia seorang muslim yang beriman. Dalam konteks aqidah, orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang dapat mengesakan Allah sekaligus tidak mensyirikan Allah dalam apa jua keadaan dan perbuatan.

Cara atau kaedah melepaskan diri dari syirik ini berbeza menurut ilmu feqah, usul dan tasauf. Yang sama ialah matlamat atau tujuannya iaitu untuk mencapai kehampiran kepada Allah.

Saya akan membawa kefahaman mengesakan Allah ini pada jalan tasauf. Maka ilmu usulludin akan disentuh secara tidak terperinci.

Sebagaimana lazimnya, hukum belajar perlulah ada sebab dan musabab serta akibat. Apa juga yang kita belajar, jika kesan di atas tidak diperolehi, maka sia-sialah kita belajar. Justeru pastikanlah, kesudahan apa yang kita pelajari. Dan hendaklah ilmu itu suatu ilmu yang dapat diamalkan. Barulah kita ketahui manfaat setiap ilmu yang kita pelajari. Dan pastikan juga ilmu yang kita tuntut itu sesuai dengan hukum-hukum syarak dan tidak bercanggah dengan peraturan syariat.

Oleh kerana bidang ilmu tasauf itu mencakupi persoalan yang amat rumit lagi mendalam, yang terkadang seakan mencabar hukum fekah dan syariat lahir; saya pohon agar saudara/saudari memahaminya secara hati-hati. Jangan sesekali pinggirkan al Quran dan al sunnah (hadis). Yang penting, jangan berguru dengan buku tetapi carilah guru yang memahami ilmu tasauf lagi mursyid ilmunya.

Buku ini saya tulis berdasarkan kefahaman dan pengalaman saya sendiri yang tentunya berlainan dengan kefahaman atau pengalaman orang lain. Kalau kedapatan kesamaran dalam pemahaman saudara/saudari maka rujuklah kembali kepada al Quran dan al sunnah.

21 Muharraam 1425
13 Mac 2004
9.12 malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Senarai Blog Saya